
PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan sasaran baharu penanaman sebanyak dua juta pokok sepanjang pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia 2.0 bermula tahun ini hingga 2030.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sasaran itu menunjukkan peningkatan sebanyak 500,000 pokok berbanding Program Penghijauan Malaysia 1.0 sebelum ini.
“Sempena Program Penghijauan Malaysia 2.0 ini, sukacita saya mengumumkan sasaran baharu penanaman pokok di Negeri Sembilan berjumlah dua juta pokok akan ditanam sepanjang program ini berlangsung bermula dari tahun 2026 hingga 2030.
“Penetapan sasaran ini melibatkan peningkatan sebanyak 500,000 pokok berbanding sasaran penanaman semasa Program Penghijauan Malaysia 1.0,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kick Off Penghijauan Malaysia 2.0 Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Tahun 2026 di PD Forest, Sungai Menyala, di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia 1.0 yang berlangsung dari tahun 2021 hingga 2025 menjadi asas kepada penetapan sasaran baharu itu.
“Negeri Sembilan sebelum ini berjaya mencapai sasaran penanaman sebanyak 1.5 juta pokok sepanjang tempoh lima tahun program tersebut.
“Usaha penghijauan berkenaan penting dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara selain meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Program ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh komitmen ke arah kelestarian alam sekitar serta memastikan keseimbangan ekosistem terus dipelihara,” tambahnya.
Dalam pada itu, penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat amat penting dalam menjayakan agenda penghijauan negeri.
“Usaha ini memerlukan komitmen semua pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi juga masyarakat di peringkat akar umbi bagi memastikan warisan alam terus terpelihara untuk generasi akan datang,” ujarnya.



