Berita

Kerajaan Negeri Sembilan belanja RM4.4 juta bantu 8,166 pelajar kurang kemampuan

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah membelanjakan RM4.4 juta sepanjang tahun 2021 bagi membantu 8,166 pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Exco Pendidikan Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Abdul Malek (Ampangan-Pakatan Harapan) berkata, Kerajaan Negeri telah mengagihkan sebanyak 4,470 unit alat peranti model Samsung Galaxy Tab A dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2.3 juta pada bulan Mei 2021 yang lalu bertujuan membantu pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari golongan tidak berkemampuan bagi mengikuti PdPR atau pengajian secara online.

Sebanyak 4,320 unit daripada jumlah tersebut diagihkan kepada semua 36 DUN (120 unit bagi setiap DUN). Sebanyak 100 unit lagi telah diserahkan kepada pihak Sekolah Maahad Ahmadi Gemencheh untuk digunakan oleh pelajar-pelajar yang memerlukan alat peranti tersebut untuk PdPR.

“Manakala baki sebanyak 50 unit diperuntukkan kepada Pejabat YB Exco Pendidikan dan Pejabat YAB Menteri Besar untuk diberikan kepada pelajar yang layak daripada mana-mana sekolah yang masih tidak mencukupi.

“Di samping itu, pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan juga turut menyumbang sebanyak 1,774 unit alat peranti bagi tujuan PdPR kepada pelajar asnaf yang memerlukan

“Kerajaan Negeri Sembilan bersedia memberikan pertimbangan sewajarnya mengenai bantuan alat peranti ini sekiranya sesi persekolahan masih tidak dapat dilaksanakan secara fizikal pada tahun hadapan,” kata Mohamad Rafie di Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.

Mohamad Rafie memberikan jawapan tersebut bagi soalan yang dikemukakan oleh ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren (Pakatan Harapan) dan ADUN Sungai Lui, YB Mohd Razi Mohd Ali (BN).

Mohamad Rafie berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan beberapa inisiatif lagi kepada pelajar dari golongan B40 seperti berikut:

i. Bantuan Anak Sekolah (BAS)

Bantuan ini diberikan kepada anak-anak sekolah daripada keluarga yang tidak berkemampuan.

Sebanyak RM1.3 juta telah disalurkan bagi tahun 2021 dan bantuan ini memberi manfaat kepada seramai 2,363 pelajar seluruh Negeri Sembilan.

ii. Biasiswa Anak Negeri

Bantuan ini diberikan kepada anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran daripada keluarga yang tidak berkemampuan.

Sebanyak RM0.8 juta telah disalurkan bagi tahun 2021 dan bantuan ini memberi manfaat kepada seramai 1,333 pelajar.

iii. Bantuan kepada sekolah dan PIBG bagi menjalankan aktiviti kecemerlangan sekolah

Bantuan diberikan berdasarkan kepada permohonan daripada pihak sekolah atau PIBG bagi membiayai sebahagian perbelanjaan untuk menjalankan program/aktiviti kecemerlangan murid/pelajar sekolah.

Bantuan ini dapat mengurangkan beban ibubapa khususnya dari golongan B40 untuk memberikan sumbangan kepada tabung PIBG bagi membiayai pelbagai program kecemerlangan anak-anak mereka.

 

Show More

Related Articles

Back to top button