Berita

Jelebu Perkasa Geopelancongan Berasaskan Komuniti Melalui Lawatan CBT di Homestay Hanya D’ Pasoh

SEREMBAN: Usaha memperkukuh sektor pelancongan berasaskan komuniti terus diperkasakan melalui penganjuran Lawatan Geopelancongan: Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) di Homestay Hanya D’Pasoh, Jelebu, Negeri Sembilan, yang menampilkan pendekatan pembangunan pelancongan lestari berteraskan komuniti setempat.

Program yang dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Dr. Norwan bin Ahmad itu memberi penekanan kepada pengukuhan ekosistem pelancongan komuniti melalui penglibatan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pemain industri pelancongan.

Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta, khususnya generasi muda, terhadap potensi geopelancongan, warisan budaya serta peluang keusahawanan yang boleh dibangunkan melalui penglibatan komuniti tempatan.

Sepanjang program, peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti interaktif termasuk demonstrasi kebudayaan tradisional, lawatan ke Laman Budaya Hanya D’Pasoh, Mini Galeri Geo Tapak Jelebu serta aktiviti kraftangan dan kulinari tempatan yang mengetengahkan identiti serta keunikan komuniti setempat.

Turut menjadi tarikan utama ialah pengalaman menaiki Kereta Api CBT Hanya D’Pasoh yang membawa peserta menelusuri beberapa hentian produk komuniti, termasuk aktiviti agro, penternakan serta keusahawanan tempatan yang menjadi sumber ekonomi penduduk setempat.

Program ini turut disertai oleh wakil daripada Unit Komunikasi Korporat MOTAC, Pejabat MOTAC Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Tourism Malaysia dan Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pejabat Pendidikan Daerah Jempol dan Jelebu serta institusi pendidikan termasuk Pusat Tingkatan 6 SMK Batu Kikir dan SK Batu 4.

Inisiatif ini dilihat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dalam usaha memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi, pemeliharaan warisan budaya serta pengalaman pelancongan yang lebih mampan dan inklusif.

Show More

Related Articles

Back to top button