Pendaftaran kad autisme meningkat bukti rakyat makin cakna

KUALA LUMPUR: Pendaftaran kad Orang Kelainan Upaya (OKU) Autisme pada tahun meningkat hampir 89,000 orang.
Ini berbeza pada tahun 2021 iaitu sebanyak 23,000 orang sahaja.
Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan empat kali ganda itu menunjukkan kesedaran rakyat semakin tinggi dengan ibu bapa lebih cakna, pengesanan awal lebih berkesan dan masyarakat terbuka untuk mendapatkan diagnosis.
“Masyarakat juga penting untuk memahami bahawa autisme bukanlah satu penyakit.
“Sebaliknya ia merupakan spektrum perkembangan neurologi.
“Apabila perkara ini dapat difahami, barulah kita dapat membuang stigma.
“Golongan inijuga mempunyai bakat neurodiversiti yang unik dan mampu cemerlang dalam pelbagai bidang seperti sains, seni dan teknologi,” kata Dzulkefly.
Beliau turut tambah bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga akan terus memperkasa Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi memastikan tiada siapa yang tercicir.
“Dalam masa sama, kita menyeru perluasan akses pendidikan tinggi serta menggalakkan para majikan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang adil dan inklusif buat mereka,” ujar beliau.



