Berita

Jalan Taman Mutiara Galla – Templer bakal dinaik taraf

SEREMBAN: Jalan alternatif yang menghubungkan Taman Mutiara Galla ke Jalan Tun Dr Ismail (Templer) akan dinaik taraf,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri sedang mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah persendirian yang berhampiran dengan jalan sedia ada bagi melaksanakan projek naik taraf jalan tersebut.

“Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah tersebut dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada mereka.

“Apabila segala perkara berkaitan diselesaikan, projek naik taraf Jalan Taman Mutiara Galla ke Templer boleh dilaksana dengan segera,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri sebentar tadi.

Isu pembuangan sampah haram dapat diselesaikan

Sementara itu ADUN Bukit Kepayang, YB Nicole Tan Lee Koon berkata, jalan tersebut memang popular di kalangan pendaki bukit dan mereka yang berulang alik bekerja di Seremban dan tinggal di Mantin serta kawasan berdekatan.

“Pada masa sekarang ada banyak masalah pembuangan sampah haram di lokasi itu dan jalan pula terlalu sempit.

“Dengan adanya jalan yang baru ini, masalah tersebut dapat diselesaikan.

“Malah harga tanah bersebelahan sepanjang jalan tersebut juga akan naik nilainya.

“Saya harap pemilik-pemilik tanah dapat mengadakan kerjasama pintar dengan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan projek naik taraf jalan ini,” jelas Nicole.

Show More

Related Articles

Back to top button