Berita

Persidangan DUN Negeri Sembilan Ditangguh, Tarikh Baharu Akan Dimaklumkan

SEREMBAN: Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Yang Dipertua DUN, Dato’ MK Ibrahim Abd Rahman memaklumkan penangguhan tersebut di dalam dewan persidangan sejurus selepas titah diraja pagi ini.

“Keputusan itu dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan DUN akan datang selain mengambil kira keadaan semasa di negeri ini.

“Berdasarkan pertimbangan saya sebagai Yang Dipertua Dewan, untuk melicinkan perjalanan DUN dan keadaan Negeri Sembilan, saya tangguhkan persidangan kali ini.

“Saya berharap sebelum bersidang akan datang, segala yang berlaku ketika ini dapat dijernihkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mendapatkan perkenan daripada Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi menetapkan tarikh baharu persidangan tersebut.

“Kerajaan negeri akan memohon perkenan Tuanku untuk satu tarikh yang akan diberitahu kemudian,” katanya.

“Ketidakhadiran Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin pada istiadat pembukaan tersebut tidak menjejaskan perjalanan majlis rasmi berkenaan.

Kehadiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah mencukupi bagi melengkapkan istiadat pembukaan selain berperanan merasmikan persidangan serta menyampaikan titah diraja.

“Ia sudah cukup syarat. Jika tidak cukup syarat, ia tidak boleh ditangguhkan. Persidangan tetap berjalan seperti biasa dengan kehadiran Tuanku yang merasmikan dan menyampaikan titah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan persidangan yang sepatutnya dijadualkan bersambung pada Isnin hingga Rabu depan ditangguhkan atas budi bicara beliau sebagai Pengerusi Dewan.

Show More

Related Articles

Back to top button