Tuanku Muhriz Zahir Penghargaan Kepada Aminuddin Bangunkan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan rasa syukur serta penghargaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri terus diperkukuh.
Baginda bertitah, melalui kepimpinan Aminuddin bersama barisan Exco Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan terus menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2025.
“Kejayaan paling signifikan adalah pencapaian status sifar miskin tegar secara konsisten dari tahun 2023 hingga 2026 sekali gus menjadikan negeri ini yang pertama di Malaysia mencapai rekod tersebut.
“Usaha ini bukan sekadar angka tetapi mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap maruah dan kesejahteraan rakyat,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama, baginda memaklumkan sektor pelancongan terus berkembang pesat apabila jumlah pelawat domestik meningkat 18.9 peratus daripada 15 juta pada 2023 kepada 17.8 juta pada 2024.
Manakala pelancong asing yang bermalam di negeri ini meningkat 32.4 peratus daripada 340,372 kepada 450,707 orang dalam tempoh sama.
Sehubungan itu, pengisytiharan Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026 disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi negeri.
“Sebanyak 65 acara pelancongan telah dirangka sepanjang tahun ini, merangkumi pelbagai segmen dan keunikan setiap daerah,” titah baginda.
Baginda turut menyeru agar inisiatif tersebut diteruskan secara berterusan selepas 2026 bagi memastikan momentum pelancongan kekal kukuh.
Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Skim Sejahtera Rakyat yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.



