Berita

Pertandingan mewarna sampul raya kanak-kanak semarakkan Aidilfitri di Ampangan

AMPANGAN: Suasana menjelang Aidilfitri di Ampangan terus disemarakkan apabila Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jiboi Baru menganjurkan Pertandingan Mewarna Sampul Raya Kanak-Kanak yang berlangsung di Surau Dato Andika, Kampung Sungai Pupuh, di sini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.

Tengku Zamrah berkata, program itu menghimpunkan penyertaan kanak-kanak dari Kampung Sungai Pupuh dan Kampung Jiboi Baru itu berlangsung dalam suasana ceria dan penuh kemesraan, sekali gus memberi ruang kepada peserta menonjolkan kreativiti melalui hasil mewarna sampul raya.

“Penganjuran aktiviti seperti itu bukan sahaja menceriakan sambutan Aidilfitri, malah membantu memupuk nilai kebersamaan, keyakinan diri serta semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Program seperti ini amat bermakna dalam membentuk generasi muda yang kreatif dan berakhlak mulia, di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.

“Usaha menganjurkan program komuniti seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan semangat kebersamaan dan keharmonian dalam masyarakat terus diperkukuhkan,” kata Tengku Zamrah.

Beliau turut berharap segala usaha yang dilaksanakan akan mendapat keberkatan serta memberi manfaat kepada seluruh masyarakat, khususnya dalam menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri di kawasan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button