Berita

Program Kanser Payudara Dapat Perhatian Masyarakat Negeri Sembilan

SIKAMAT: Seramai 461 peserta menghadiri Program Kesedaran Kanser Payudara yang berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Height melibatkan penyertaan daripada Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga, Daerah Seremban (KRT) serta pelajar Tingkatan 4 dan 6 di Daerah Seremban.

Isteri Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Yang Dipertua Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat & Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (BAKRIYAH), Datin Seri Hajah Wan Hasni Binti Wan Yusof dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini.

Program turut dimeriahkan dengan pameran daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, LPPKN serta NGO seperti Breast Cancer Welfare Association Malaysia, National Cancer Society Malaysia, ERAT@NS dan Pink Unity yang menyediakan maklumat, saringan asas dan bahan kesedaran kepada para pengunjung.

“Tema ‘Penyatuan dalam Keunikan’ yang diangkat pada tahun ini amat bertepatan dengan semangat program. Masing-masing daripada kita datang daripada latar belakang, profesion, pengalaman dan kisah hidup yang berbeza namun setiap perbezaan itu menjadi keunikan yang melengkapi usaha besar ini.” katanya semasa program berlangsung.

Beliau menegaskan bahawa walaupun kanser payudara merupakan antara kanser paling kerap dikesan dalam kalangan wanita Malaysia, pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa melalui pemeriksaan sendiri, pemeriksaan klinikal dan mamogram berkala.

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) katanya terus komited menyediakan akses rawatan dan sokongan berkualiti termasuk saringan percuma, kempen kesihatan dan perkhidmatan psikososial untuk pesakit serta keluarga. Klinik swasta, agensi luar dan NGO turut menjalankan saringan serta advokasi kesedaran.

Show More

Related Articles

Back to top button