
RASAH: Projek menaik taraf dan membina jejambat bertingkat (fly-over) di Jalan Labu telah dimulakan dan dijangka siap pada April 2028.
Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, ini adalah projek Kerajaan Persekutuan Malaysia MADANI di bawah Kementerian Kerja Raya yang diselia Jabatan Kerja Raya dengan kos pembinaan RM501 juta.
“Setakat ini kerja-kerja pembersihan tanah di tepi jalan telah bermula sejak dua bulan yang lalu dan semua kerja berjalan mengikut jadual.
“Projek bernilai RM501 juta ini meliputi jarak 2.7 kilometer bermula dari simpang Taman Sri Pinang sehingga simpang masuk ke Taman Bukit Kepayang di Jalan Labu.
“Sebuah fly-over akan dibina merentasi jambatan Lebuh Raya Seremban – Kuala Lumpur (PLUS) yang berada di Jalan Labu ini.
“Jalan di bawah jambatan tersebut tidak boleh dilebarkan dan menyebabkan bottle neck, seterusnya menyebabkan kesesakan jalan raya setiap hari terutamanya ketika waktu puncak,” jelas Cha.
Menurut Cha lagi, selain pembinaan fly-over, Jalan Labu ini akan dilebarkan menjadi empat lorong (sekarang dua lorong).
“Kawasan ini adalah kawasan pembangunan pesat termasuk Bandar Ainsdale, Seremban 2 Heights dan sangat dekat dengan Malaysia Vision Valley 2.0, maka ada keperluan untuk melaksana projek ini.
“Saya berharap projek ini berjalan lancar mengikut jadual dan akhirnya dapat mengurangkan kesesakan serta memberi manfaat kepada penduduk setempat,” kata Cha.
Dalam pada itu, Cha juga memperincikan bahawa jajaran fly-over tersebut akan bermula di Bandar Ainsdale, lalu di atas jambatan Lebuh Raya PLUS dan berakhir berhampiran Kompleks Angkatan Pertahanan Awam.




