Pusat Khidmat PD pantas bersihkan pokok tumbang

PORT DICKSON: Kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok tumbang di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut telah dilaksanakan segera semalam susulan kejadian ribut yang melanda daerah Port Dickson baru-baru ini.
Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson memaklumkan, tindakan pantas itu diambil selepas menerima laporan berhubung kejadian pokok tumbang yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan warga sekolah, khususnya murid-murid.
Menurut kenyataan itu, laporan awal telah dikemukakan oleh Ahli Majlis Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Faizal Abd Ghapar sebelum agensi berkaitan turun ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pemotongan pokok yang terlibat.
Koordinasi yang cekap antara semua pihak disifatkan penting bagi memastikan persekitaran sekolah kembali selamat dan sesi pembelajaran dapat diteruskan dalam keadaan terkawal.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas agensi yang terlibat kerana bertungkus-lumus menjalankan tugas di lapangan meskipun berdepan keadaan cuaca tidak menentu.
“Kerjasama erat antara Ahli Majlis, pihak sekolah dan agensi berkaitan menjadi kunci utama dalam mendepani sebarang bencana alam di daerah ini,” menurut kenyataan tersebut.
Orang ramai turut berharap urusan pembersihan dapat diselesaikan sepenuhnya dan warga SK Lukut dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih tenang serta selamat.



