Sasaran 10,500 peserta untuk Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 2.0

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan minimum 1,500 peserta di setiap lokasi dalam siri Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 2.0: Road to HSN 2025.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Dato’ Mustapha Nagoor berkata, sasaran penyertaan pada tahun ini adalah lebih tinggi berbanding 1,000 peserta pada tahun lalu.
“Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge mengetengahkan elemen sukan rekreasi berasaskan cabaran alam semula jadi seperti mendaki dan larian denai, diadakan selama tujuh bulan di tujuh daerah, bertujuan memupuk budaya hidup aktif, sihat dan sejahtera dalam kalangan rakyat.
“Malah, ia menjadi medan penyatuan masyarakat merentasi kaum, agama dan latar belakang sosial, selaras dengan aspirasi Inisiatif Harmoni MADANI,” ujar beliau.
Mustapha berkata, program ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) yang diraikan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.
Ia juga selari dengan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera, dan turut menjadi pemangkin kepada promosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang bakal menjelang.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, penganjuran pada tahun ini bakal lebih meriah dan inklusif.
Hadiah khas berbentuk wang tunai juga disediakan untiuk daerah terbaik, sebagai motivasi kepada pasukan pelaksana di peringkat daerah.
“Pegawai Daerah juga digalakkan menggunakan kreativiti masing-masing untuik menceriakan program termasuk dengan menjemput penaja tempatan, menyediakan cabutan bertuah dan elemen kejutan lain yang mampu menarik penglibatan komuniti.
“Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge akan menjadi acara tahunan yang akan terus memacu kesejahteraan rakyat, memperkukuh perpaduan, dan memperkenalkan keindahan semula jadi Negeri Sembilan ke persada yang lebih luas,” kata Mustapha lagi.
Menurut Mustapha lagi, menariknya pada tahun ini, peserta yang melengkapkan kesemua tujuh siri, akan mendapat tujuh medal yang apabila dicantum akan menjadi bentuk peta dan bendera Negeri Sembilan.
“Pada tahun lalu, apabila tujuh medal daripada tujuh siri apabila dicantum menjadi sebuah peta.
“Pada tahun ini kita membuat pembaharuan dan apabila tujuh medal daripada tujuh siri dicantum, ia akan menjadi sebuah peta dan bendera Negeri Sembilan,” jelas Mustapha.