BeritaMenarik

Sasaran 30 peratus pengeluaran jagung bijian menjelang tahun 2032

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menganjurkan satu sesi libat urus bersama pemain industri jagung bijian sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh pembangunan industri ini di Malaysia.

Sesi tersebut, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM, Dato’ Seri Isham Ishak, berjaya menarik penyertaan 63 individu secara fizikal dan dalam talian, termasuk pengeluar, pengilang, dan pengguna, yang telah berkongsi pandangan, cadangan, serta maklum balas bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri ini.

Antara keputusan penting yang dicapai adalah cadangan untuk menubuhkan sebuah persatuan yang akan menghimpunkan semua pengeluar jagung bijian dalam tempoh enam bulan akan datang.

Persatuan ini dijangka menjadi platform strategik bagi syarikat dan individu untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan pemain industri.

Langkah ini juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk memastikan 30 peratus keperluan domestik jagung bijian dapat dihasilkan dalam negara menjelang tahun 2032, sekaligus menyokong agenda nasional ke arah keterjaminan bekalan makanan.

Show More

Related Articles

Back to top button