Berita

Kompleks Sekolah Desa Casuarina Dibina, Usaha Kerajaan Negeri Atasi Kesesakan Sekolah

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengakui isu kesesakan pelajar di beberapa sekolah khususnya di daerah Seremban dan Port Dickson memerlukan perancangan rapi serta pelaksanaan secara berperingkat dan tidak boleh disiapkan secara tergesa-gesa.

Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, pembinaan serta penyiapan bangunan sekolah tidak boleh dilaksanakan secara segera walaupun terdapat desakan sebaliknya perlu melalui perancangan khusus serta kelulusan peruntukan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, sebuah sekolah baharu telah diluluskan pembinaannya di Kompleks Sekolah Desa Casuarina, Nilai yang dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan pelajar dengan sasaran purata sekitar 38 orang murid bagi setiap kelas.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa isu kepadatan pelajar bukan hanya tertumpu di kawasan sebelah Nilai malah turut melibatkan beberapa sekolah lain di negeri ini.

“Antara kawasan yang dikenal pasti ialah di daerah Port Dickson dan Seremban selain Sekolah Kebangsaan Lukut yang kini menampung kira-kira 1,400 orang murid,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu yang bersifat pilihan dan bergantung kepada keputusan serta kesesuaian yang ditentukan oleh ibu bapa.

Beliau menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan menilai kesesuaian sekolah untuk anak-anak mereka termasuk mempertimbangkan tawaran baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan menerusi agenda reformasi pendidikan.

“Tidak semestinya sekolah yang terletak berhampiran rumah sentiasa mempunyai kekosongan. Sekiranya sekolah tersebut sudah penuh, ibu bapa perlu bersedia membuat sedikit pengorbanan dengan memilih sekolah lain yang masih mempunyai kapasiti,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, terdapat beberapa sekolah yang masih mampu menerima pelajar dan peluang ini wajar dimanfaatkan bagi membantu mengurangkan kesesakan di sekolah-sekolah yang padat.

Beliau ditemui ketika Sidang Media Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button