
SEREMBAN: Acara silat kembali dipertandingkan dalam Kejohanan Sukan Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2026 selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019, sekali gus menjadi kemuncak penutup temasya sukan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melabuhkan tirainya di sini.
Acara tersebut turut disaksikan Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua Majlis Sukan PDRM, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Dr. Munirah Che Rose.
Menurut Mohd Khalid, sukan merupakan platform penting dalam membentuk disiplin, meningkatkan kecergasan fizikal serta memperkukuh semangat perpaduan dan kerja berpasukan dalam kalangan warga pasukan.
“Di sebalik persaingan sengit ini, elemen utama ialah pengukuhan nilai kerjasama dan persaudaraan sebagai sebuah keluarga besar PDRM.
“Semangat kesukanan inilah yang perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan amanah menjaga keselamatan masyarakat dan kedaulatan negara,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Timbalan Yang Dipertua Majlis Sukan PDRM, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Pada majlis sama, Mohd Khalid turut menyampaikan hadiah kepada Kontinjen Negeri Sembilan yang muncul johan keseluruhan acara silat, sekali gus membawa pulang piala pusingan.
Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula 10 Jun lalu itu menghimpunkan penyertaan 20 kontinjen dari seluruh negara yang bersaing dalam tiga acara utama iaitu silat, ragbi dan ping pong.
Lebih mencuri perhatian, aksi para pesilat turut memukau penonton apabila Konstabel Mohamad Hafiz Halim dari Kontinjen Bukit Aman muncul juara kategori Tanding Putra I (85 hingga 90 kilogram), manakala kategori Tanding Putri B (50 hingga 55 kilogram) dimenangi Konstabel Riezlynn Edelya Edtasha Ahmad Rozi dari Kontinjen Negeri Sembilan.
Sementara itu, Kontinjen Johor muncul naib johan, manakala Kontinjen Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga.
Bagi acara ping pong, Kontinjen Bukit Aman muncul juara selepas menewaskan lawan pada perlawanan akhir yang berlangsung kelmarin.
Sementara itu, Kontinjen Selangor dinobatkan sebagai juara acara ragbi kategori terbuka selepas mengungguli perlawanan akhir pada 12 Jun lalu sekali gus menyaksikan kedua-dua kontinjen membawa pulang piala pusingan masing-masing.
Majlis penutupan turut diserikan dengan gimik penyerahan Keris Adat Kejohanan oleh Mohd Khalid sebagai simbolik berakhirnya Kejohanan Sukan Piala KPN 2026.
Turut menyaksikan upacara itu ialah Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid; Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad; serta Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia Negeri Sembilan, Datuk Mohd Rais Zainuddin.
Hadir sama barisan pengarah dan timbalan pengarah PDRM, ketua-ketua polis negeri, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Datuk Mohamad Noor Yusof Ali serta pegawai kanan pasukan.



