Berita

STPM 2025: Negeri Sembilan Lakar Sejarah Baharu Dengan PNGK 2.88

SEREMBAN:  Negeri Sembilan mencipta sejarah baharu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 apabila merekodkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) tertinggi pernah dicapai negeri itu, iaitu 2.88.

Pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.02 mata berbanding PNGK 2.86 yang direkodkan pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan, Mohd Wazir Hamzah berkata, keputusan itu mencerminkan peningkatan prestasi calon STPM di negeri ini hasil komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh kecemerlangan akademik.

“Kuala Pilah dan Tampin muncul sebagai daerah paling cemerlang apabila masing-masing mencatat PNGK 3.04.

“Rembau turut menunjukkan peningkatan apabila merekodkan PNGK 2.99 berbanding 2.95 pada tahun sebelumnya.

“Jempol dan Jelebu pula mencatat PNGK 2.86, meningkat sebanyak 0.06 mata berbanding 2.80 pada tahun 2024,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, daerah Seremban turut mencatat peningkatan kepada PNGK 2.85 berbanding 2.82 pada tahun lalu, manakala Port Dickson merekodkan PNGK 2.83.

“Dari segi pencapaian individu, seramai 33 calon berjaya memperoleh PNGK sempurna 4.00, sementara 111 calon lagi mencatat PNGK antara 3.00 hingga 3.74.

“Seramai 1,039 calon atau 91.5 peratus memperoleh PNGK 2.00 dan ke atas, sekali gus memenuhi syarat untuk memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Labu dinobatkan sebagai sekolah terbaik STPM 2025 di Negeri Sembilan selepas merekodkan PNGK tertinggi sebanyak 3.37.

Mohd Wazir berkata, kesemua 1,136 calon yang menduduki peperiksaan STPM 2025 di negeri ini layak dianugerahkan sijil STPM.

 

Show More

Related Articles

Back to top button