BeritaKolumnis

Sotong Ada Ikan Dalam Perut Timbul Tanda Tanya, Peniaga Menipu atau Pembeli Cepat Menilai?

Taktik manipulasi berat barangan basah bukanlah perkara baharu namun dakwaan terbaharu yang tular di media sosial ini sekali lagi menguji cara kita sebagai pengguna membaca sesuatu kejadian.

Baru-baru ini, tular seorang pengguna meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa menemui ikan di dalam sotong yang dibeli di Pasar Besar Kota Kinabalu (KK).

Dalam perkongsian tersebut, beliau mendakwa setiap ekor sotong yang dibeli dalam kuantiti satu kilogram mengandungi ikan basung di dalamnya sekali gus menimbulkan syak wasangka berlakunya penipuan oleh peniaga.

“Saya rasa sangat sukar untuk mempercayai ini adalah satu kebetulan. Nampaknya ikan-ikan ini sengaja dimasukkan ke dalam sotong untuk meningkatkan berat,” luahnya menerusi hantaran di media sosial.

Dakwaan seperti ini pantas mengundang reaksi ramai. Ada yang marah, ada yang mengecam dan ada juga yang terus menganggap ia satu bentuk penipuan yang disengajakan.

Melalui perkongsian di media sosial, timbul reaksi ramai yang turut berkongsi pengalaman sama malah ada yang mengecam tindakan tersebut dan menggesa agar peniaga berkenaan dikenakan tindakan.

Warganet meluahkan rasa tidak puas hati dengan mendakwa, “Mesti kena sumbat. Tak mungkin sotong ‘lahap’ sehingga dua ekor ikan besar boleh berada dalam perutnya sekali gus.”

Seorang lagi warganet pula berpendapat, “Kalau di pasar dahulu, ikan yang ditemui dalam sotong biasanya kecil-kecil sahaja. Badannya pun kurus kerana memang menjadi makanan sotong. Keadaan ini nampak sangat disengajakan”

Namun, di sinilah menariknya cara kita hari ini menilai sesuatu yang kadang-kadang belum sempat fakta lengkap diperoleh, hukuman sudah pun dijatuhkan.

Menerusi penjelasan kesedaran kesihatan awam oleh ‘Public Health Malaysia’, makanan laut seperti sotong merupakan haiwan pemangsa yang memakan ikan kecil dan hidupan laut lain. Tidak mustahil kandungan perutnya masih belum hadam sepenuhnya ketika ia ditangkap, lalu kekal di dalam tubuh haiwan tersebut.

Dalam erti kata lain, apa yang kelihatan “pelik” tidak semestinya “dirancang”.

Namun, ini tidak bermakna pengguna perlu menutup mata. Isu ketelusan dalam jual beli barangan basah tetap penting dan hak pengguna untuk mendapatkan produk yang bersih serta jelas juga tidak boleh diketepikan.

Namun dari sudut logik, dakwaan bahawa setiap ekor sotong mengandungi satu hingga dua ekor ikan yang sama saiz menimbulkan persoalan yang sukar disahkan tanpa bukti lebih jelas sekali gus membuka ruang kepada keperluan siasatan dan penjelasan lanjut.

Cuma persoalannya, sejauh mana kita membezakan antara kemungkinan penipuan dan realiti biologi sebelum membuat kesimpulan?

Di era media sosial, satu gambar mampu mencetuskan ribuan persepsi. Emosi sering mendahului penjelasan dan tuduhan pula lebih cepat tersebar berbanding fakta.

Dalam masa sama, beberapa langkah boleh diambil oleh pengguna bagi mengelakkan salah faham atau memastikan ketelusan dalam pembelian barangan basah, antaranya meminta peniaga membersihkan sotong sebelum ditimbang jika dibenarkan, bertanya terlebih dahulu mengenai status pembersihan, membandingkan harga sotong bersih dan tidak bersih serta menyimpan bukti sekiranya wujud unsur penipuan untuk dibuat aduan kepada pihak berkuasa.

Mungkin sebab itu, isu seperti sotong dan ikan ini bukan sekadar tentang makanan laut semata-mata. Ia juga cerminan kepada kita betapa mudahnya kita percaya dan betapa cepatnya kita menghukum.

Akhirnya, pengguna yang bijak bukan sekadar bertindak dengan emosi dan kemarahan, tetapi mampu berfikir terlebih dahulu sebelum menilai sesuatu keadaan.

Show More

Related Articles

Back to top button