Berita

Negeri Sembilan sasar pendapatan per kapita rakyat RM50,000 menjelang 2027

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat negeri melebihi RM50,000 menjelang tahun 2027.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pembangunan ekonomi digital di Negeri Sembilan dapat dilaksanakan melalui tiga pendekatan iaitu Kerajaan yang dipacu oleh pendigitalan, industri yang berpaksikan pendigitalan dan rakyat negeri dengan literasi digital yang baik.

Sasaran Kerajaan Negeri dalam bidang ekonomi digital menjelang tahun 2027 adalah:

i. Mentransformasi perkhidmatan kerajaan kepada 100 peratus perkhidmatan digital;

ii. Meningkatkan pendapatan per kapita rakyat negeri kepada melebihi RM50,000;

iii. Merekodkan lebih daripada 6 peratus GDP dalam bidang perkhidmatan digital;

iv. Mencatatkan liputan telekomunikasi melebihi 95 peratus di seluruh Negeri Sembilan dan

v. Meningkatkan literasi digital di kalangan masyarakat sekaligus mencapai lebih daripada 10 peratus aktiviti dalam talian melibatkan aktiviti ekonomi digital atau seumpamanya.

“Rakyat perlu diberi peluang untuk meningkatkan tahap kemahiran digital mereka bagi memastikan inklusiviti digital berlaku secara sistematik.

“Literasi digital di kalangan masyarakat juga penting untuk menghadapi perkembangan dalam bidang ekonomi digital yang bakal merubah keseluruhan landskap ekonomi global,” katanya.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pelancaran Dokumen Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021 – 2025 dan Dokumen Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 di Port Dickson.

Show More

Related Articles

Back to top button