Tiada Lagi Caj Pengeluaran Tunai RM1 bermula 1 Julai Depan

SEREMBAN: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) dan mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 bermula 1 Julai depan.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) pada Isnin.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, sekali gus menikmati kemudahan pengeluaran tunai percuma tanpa had.”
“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.
ABM, AIBIM dan ADFIM memaklumkan bahawa inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah diakses, inklusif dan berpatutan.
Menurut mereka, walaupun penggunaan pembayaran digital semakin meluas, wang tunai masih menjadi kaedah pembayaran penting bagi sebahagian besar rakyat Malaysia dalam urusan harian.
“Pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat,” menurut kenyataan itu.
Ketiga-tiga persatuan itu berkata, langkah berkenaan turut memperkukuh usaha sektor perbankan dalam menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, inklusif dan berfokuskan pelanggan.
Dalam masa sama, industri perbankan terus mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, selaras dengan perkembangan Malaysia ke arah ekonomi digital, bank-bank akan terus memperkukuh serta mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif bagi transaksi harian.
“Industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka.
“Di samping itu, secara tidak langsung dapat memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya.



