Taman MADANI di Taman Rekreasi Ulu Bendul

KUALA PILAH: Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) telah berjaya menyiapkan Taman MADANI di Taman Rekreasi Ulu Bendul melalui peruntukan daripada Jabatan Landskap Negara KPKT, sebuah projek yang bukan sahaja menambah nilai kawasan rekreasi ini, tetapi juga menjadikannya ruang awam yang selesa, selamat, mesra komuniti, dan memberi manfaat kepada masyarakat dari semua lapisan umur.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J.Arul Kumar berkata, taman ini merupakan contoh jelas bagaimana pembangunan bandar moden dapat berpadu dengan prinsip kelestarian alam semula jadi, identiti tempatan, serta kesejahteraan sosial masyarakat setempat.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Daerah Kuala Pilah kerana berjaya menyiapkan Taman MADANI, sebuah projek yang bukan sahaja menambah nilai kawasan rekreasi ini, tetapi juga menjadikannya ruang awam yang selesa, selamat, mesra komuniti, dan memberi manfaat kepada masyarakat dari semua lapisan umur.
“Taman ini merupakan contoh jelas bagaimana pembangunan bandar moden dapat berpadu dengan prinsip kelestarian alam semula jadi, identiti tempatan, serta kesejahteraan sosial masyarakat setempat.
“Pembangunan Taman MADANI ini juga merupakan komitmen MDKP dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam setiap projek landskap.
“Antaranya termasuk penciptaan ruang hijau yang selamat dan mudah diakses, dan elemen mesra alam, serta penyediaan ruang rekreasi yang menggalakkan gaya hidup sihat.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah selaras dengan peranan kerajaan dalam membina bandar dan komuniti yang mampan, bersih, selamat, dan sejahtera,” kata Arul Kumar.

Arul Kumar tambah, kerajaan melalui pelbagai peringkat dan agensi, sentiasa menekankan kepentingan pembangunan yang menyeluruh; bukan sahaja dari aspek infrastruktur dan ekonomi, tetapi juga sosial, pendidikan, budaya dan persekitaran.
“Projek seperti Taman MADANI adalah contoh bagaimana kerjasama antara kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, dan masyarakat dapat menghasilkan hasil yang bermanfaat untuk rakyat, meningkatkan kualiti hidup, serta memperkukuh daya tarikan pelancongan negeri.
“Selain itu, Taman MADANI dijangka menjadi titik tumpuan pelancongan dan aktiviti komuniti.
“Ia menyediakan ruang bagi keluarga, belia, warga emas, dan pelancong untuk menikmati alam semula jadi, beriadah, dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial serta pendidikan alam sekitar.
“Kemudahan yang disediakan bukan sahaja memperkaya pengalaman pengunjung, malah membuka peluang kepada ekonomi setempat melalui aktiviti keusahawanan kecil dan program komuniti yang berskala kecil hingga sederhana.
“Pembangunan ini memberi impak positif dari segi fizikal, sosial, dan ekonomi,” jelas Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar, kejayaan pembangunan Taman MADANI dan kelulusan projek landskap yang akan datang membuktikan bahawa kerjasama erat antara MDKP, JLN, kerajaan negeri dan masyarakat setempat amat penting dalam melaksanakan projek landskap yang berkualiti.
“Diharapkan hubungan baik ini dapat terus diperkukuh agar semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
“Semoga Taman MADANI bukan sahaja menjadi ruang riadah, tetapi juga simbol pembangunan mampan, inovasi bandar hijau, dan kemakmuran komuniti Kuala Pilah.
“Saya menyeru agar setiap pengunjung, warga setempat, dan komuniti MDKP bersama-sama memelihara kemudahan ini dengan penuh tanggungjawab.
“Infrastruktur yang baik hanya akan kekal bermakna jika dijaga Bersama,” ujar beliau.




