Tanah runtuh di Taman Desa Melor diberi perhatian

PAROI: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Desa Melor, Senawang telah mendapat perhatian oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban, Ir. Ts. Mohd Kamal Mohd Yusof.
Mohd Kamal berkata, satu lawatan telah diadakan bagi meninjau kerja-kerja baik pulih yang sedang dilakukan oleh pihak kontraktor.
“Pemasangan kanvas telah dilakukan sebagai langkah awal bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah daripada terus berlaku.
“Selepas pemeriksaan dijalankan, terdapat retakan pada bahagian jalan di hadapan rumah yang terlibat.
“Walaupun begitu, struktur longkang ‘culvert’ didapati berada dalam keadaan baik.
“Susulan itu, pihak kontraktor telah melaksanakan sambungan tembok konkrit dan ‘rubble wall’ di tapak untuk memastikan kestabilan struktur lebih kukuh dan mencegah kerosakan lebih lanjut.
“Kerja baik pulih yang dijalankan juga tidak dibenarkan menggunakan semula tanah asal kerana ia telah menyerap air yang banyak menyebabkan kehilangan kekuatan struktur.
“Dalam pada itu, MBS juga telah merangka beberapa langkah jangka masa panjang bagi mengatasi perkara ini dan meminta orang ramai untuk menghubungi kami sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau cadangan,” kata Mohd Kamal.