BeritaMenarik

Terowong pejalan kaki Stesen Keretapi Seremban ke Terminal 1 kini berwajah baharu

SEREMBAN: Terowong pejalan kaki dari Stesen Keretapi Seremban ke Stesen Bas Terminal 1, kini berwajah baharu dan perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar berkata, insiatif ini dijayakan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) melalui CSR mereka dengan sentuhan kreatif oleh Think City dan disokong oleh Majlis Bandaraya Seremban dan KTM.

Selain daripada kerja-kerja menaiktaraf laluan pejalan kaki untuk menghubungkan dua stesen utama mod pengangkutan di Bandar Seremban; pembinaan dua arca, iaitu Arca Railman dan Arca Messenger akan menjadi tarikan utama disini.

“Arca Railman dan Messenger ini merupakan satu insiatif seni awam yang direka untuk meraikan warisan keretapi di Malaysia.

“Diperbuat daripada peralatan semboyan yang digunakan dalam operasi kereta api dan disusun agar menyerupai bentuk manusia abstrak, arca ini adalah sebagai tanda penghormatan kepada semua kakitangan kereta api yang telah berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan sektor kereta api di negara ini sejak perkhidmatan rel diperkenalkan sebagai mod pengangkutan,” ujar Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar, Arca Railman dan Arca Messenger ini diletakkan berhadapan antara satu sama lain di seberang Jalan Sungai Ujong.

“Kedua-dua arca ini kelihatan seolah-olah sedang bertegur sapa pada waktu tertentu menerusi pemasangan lampu dan isyarat boleh bergerak yang telah diseleraskan dengan jadual ketibaan kereta api di Stesen Keretapi Seremban.

“Lengan yang boleh bergerak pada Arca Messenger adalah penyesuaian kepada beg kunci token berbentuk gelung dalam sistem isyarat kereta api.

“Sistem ini telah digunakan pada landasan dua hala kerana risiko pertembungan dua buah kereta api yang lebih tinggi.

“Pemandu kereta api perlu mengambil token daripada Stesen Master sebelum memasuki bahagian tertentu dari landasan tunggal.

“Pertukaran token ini berlaku ketika kereta api masih bergerak laju,” jelas Arul Kumar.

Arul Kumar menambah, usaha mengetengahkan inisitif seni awam melalui pembinaan arca-arca ini dapat mengimbau dan mengingati nostalgia kereta api yang terindah.

Show More

Related Articles

Back to top button