Tiga pemain muda Negeri Sembilan bakal beraksi di J-League 3?

SEREMBAN: Negeri Sembilan Football Club (NSFC) akan menghantar seorang jurulatih dan tiga pemain ke Jepun bagi menimba ilmu dan mencari peluang beraksi di J-League 3.
CEO NSFC, Faliq Firdaus berkata, Ketua Jurulatih B-20, Norhafiz Zamani Misbah, bersama tiga pemain muda iaitu Airiel Zafran Mohd Azrul (20), Aqil Faris Shalahudin (19) dan Adam Haris Hamizon (21) akan ke kelab J-League 3, Gainare Tottori bagi menjalani latihan dan percubaan selama sebulan bermula pada hujung Februari ini.
“Sepanjang tempoh tersebut, ketiga-tiga pemain akan dinilai terlebih dahulu oleh barisan kejurulatihan akademi Gainare Tottori.
“Sekiranya menepati standard dan kriteria yang ditetapkan, mereka akan diberi peluang untuk turut serta menjalani latihan bersama skuad utama kelab berkenaan.
“Dalam masa yang sama, Norhafiz Zamani Misbah akan ditempatkan bersama struktur kejurulatihan pasukan Utama Gainare Tottori bagi mendalami metodologi latihan, pengurusan pasukan serta pendekatan taktikal yang diamalkan dalam sistem bola sepak profesional Jepun,” kata Faliq dalam sidang media khas di Wisma Negeri di sini.
Sidang media khas ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun yang juga merupakan Pengerusi NSFC.

Menurut Faliq lagi, program ini bertujuan untuk membentuk pemain muda tempatan yang berkualiti dalam persiapan menghadapi temasya SUKMA tahun ini, serta memberi peluang kepada pemain untuk dinilai bagi potensi kontrak di J-League 3 sekiranya memenuhi standard ditetapkan.
“Program latihan dan percubaan ini mencerminkan komitmen serius NSFC dalam membina asas pembangunan pemain muda yang mampan dan berdaya saing.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kejayaan jangka pendek, tetapi perlu membina struktur yang kukuh untuk masa hadapan.
“Hubungan baik kita dengan Gainare Tottori membuka ruang yang amat berharga kepada pemain dan jurulatih untuk menimba pengalaman dalam ekosistem bola sepak profesional Jepun yang terkenal dengan disiplin dan intensiti tinggi.
“Saya berharap peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain dan jurulatih yang terlibat, bukan sahaja untuk pembangunan peribadi mereka, tetapi juga untuk membawa pulang ilmu dan standard baharu yang boleh meningkatkan mutu bola sepak Negeri Sembilan,” jelas Faliq.
Faliq tambah, inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang NSFC dalam membangunkan bakat-bakat muda sebagai pelapis dan aset masa depan skuad Liga Super.
“NSFC menegaskan bahawa program seperti ini akan dilaksanakan secara tahunan dengan melibatkan pemain-pemain muda lain sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan berterusan kelab.
“Melalui pendedahan antarabangsa yang konsisten, NSFC yakin bakat-bakat tempatan mampu diperkasa untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, sekali gus memperkukuhkan kekuatan skuad Liga Super dan membawa nama Negeri Sembilan ke tahap yang lebih membanggakan,” kata Faliq.




