Berita

Tindakan berperingkat KPKM tangani kos operasi dan pengukuhan industri padi

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil maklum dan telah meneliti kenyataan media Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berhubung kesan kenaikan harga diesel terhadap pesawah serta sektor pertanian negara.

Pertama, sebelum berlakunya pergolakan semasa di Timur Tengah dan impak penyasaran semula subsidi diesel pada 2024, Kerajaan MADANI telah mengambil langkah awal dengan meningkatkan kadar bantuan pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar serta memperkenalkan bantuan upah menuai sebanyak RM50 sehektar bagi meringankan kos operasi pesawah.

Kedua, dalam menghadapi cabaran cuaca kering dan kemarau di utara negara, tindakan segera telah dilaksanakan termasuk Operasi Pembenihan Awan pada 13 hingga 14 Februari 2026 serta penggunaan kaedah penanaman Tabur Terus Kering (TTK) di kawasan sumber air terhad.

Selain itu, pesawah yang terkesan turut dinilai bagi bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Skim Takaful Tanaman Padi.

Ketiga, pada 17 Mac 2026, Mesyuarat Pasca Kabinet KPKM telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) sebagai platform rasmi yang menghimpunkan semua pemain industri termasuk wakil pesawah, persatuan dan NGO bagi membincang serta menyelesaikan isu industri secara kolektif dan telus.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan sendiri oleh YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Keempat, pada 18 Mac 2026, satu sesi libat urus bersama pemain industri termasuk wakil pesawah, wakil pengilang baja telah diadakan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas langsung daripada pihak industri berkenaan impak perang di Asia Barat.

Kelima, susulan perkembangan semasa termasuk kenaikan harga minyak dunia, KPKM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat Kementerian untuk meneliti kesan keseluruhan terhadap sektor pertanian serta sedang merangka tindakan lanjut secara menyeluruh.

Dalam masa yang sama, KPKM ingin menegaskan bahawa bantuan subsidi input seperti benih, baja dan racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa walaupun berlaku kenaikan kos baja di peringkat global.

Berhubung dakwaan mengenai bantuan insentif tunggu tuai RM600 yang tidak sampai kepada pesawah, kementerian ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa bantuan tersebut merupakan bantuan khas secara one-off yang dilaksanakan bagi musim tanaman padi tahun 2023 dan 2024 sahaja, dan peruntukan ini tidak diteruskan dalam Belanjawan bagi tahun 2025 dan 2026.

Justeru tidak timbul isu kelewatan pembayaran sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang.

Dalam hal ini, adalah penting agar kenyataan yang hendak dibuat mestilah berasaskan fakta dan butiran sebenar dasar kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pesawah dan rakyat.

KPKM sememangnya sedang memantau impak kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada kos operasi, dan perkara ini sedang diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa.

Perlu ditegaskan, KPKM pada bila-bila masa boleh melaksanakan intervensi sewajarnya berdasarkan peruntukan di bawah Akta 522 sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian penghasilan dan pembekalan padi serta beras negara.

Kerajaan MADANI melalui KPKM akan terus mengambil pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data dalam memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara serta keterjaminan makanan negara terus diperkukuh.

Show More

Related Articles

Back to top button