Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
BeritaProgram

Tuanku Muhriz bangga hasil kutipan Kerajaan Negeri capai RM397 juta

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, walaupun jumlah kutipan hasil Kerajaan Negeri Sembilan tidak menepati sasaran seperti yang dirancang, namun bagi tahun 2021 masih boleh dianggap pada prestasi yang membanggakan memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

“Kerajaan Beta mampu mengutip sebanyak RM397 juta atau 89 peratus daripada yang disasarkan dalam keadaan yang penuh kesukaran.

“Pencapaian ini adalah hasil dedikasi dan kerjasama jabatan-jabatan pemungut hasil, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan
Negeri yang terus merangka strategi dan mencari sumber baharu dalam usaha meningkatkan prestasi kutipan.

“Beta yakin tahun 2022 akan lebih positif dan warga kerja di bawah Kerajaan Beta akan lebih proaktif dan bersungguh-sungguh dalam mendepani cabaran baharu tahun 2022.

“Ini turut disokong oleh Rizab Kerajaan Negeri yang stabil iaitu sebanyak RM734 juta pada tahun berakhir 31 Disember 2021,” titah baginda.

Tuanku turut bertitah, sebanyak RM153 juta telah diperuntukkan untuk projek pembangunan yang bertepatan dengan hasrat Belanjawan 2021 untuk merangsang kembali ekonomi.

“Daripada jumlah ini sebanyak RM144 juta atau 94 peratus telah dibelanjakan oleh agensi pelaksana dalam tempoh yang ditetapkan.

“Tahniah Beta ucapkan kepada Kerajaan Beta dan semua agensi pelaksana kerana memastikan belanjawan tersebut mencapai objektif yang disasarkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada hari ini.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button