BeritaMenarik

Tyson Foods Malaysia labur RM400juta, buka kilang proses makanan segera di Bandar Enstek

SEREMBAN: Tyson Foods Malaysia telah membuka sebuah kilang memproses makanan segera yang menawarkan 250 peluang pekerjaan di Kawasan Perindustrian Techpark, Bandar Enstek, Seremban.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Tyson Foods Malaysia melabur RM400 juta bagi pembinaan dan operasi kilang tersebut yang memproses makanan seperti nugget dan burger.

“Produk-produk ini bukan sahaja dipasarkan di Malaysia tetapi mendapat permintaan yang sangat tinggi di negara-negara Timur Tengah,” ujar beliau.

Menurut Aminuddin, keyakinan Tyson Foods Malaysia untuk bertapak di negeri ini sememangnya memberi impak rantaian ekonomi negeri dan seterusnya menunjukkan komitmen mereka terhadap tanggungjawab korporat yang secara langsung memberikan manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Tyson Foods Malaysia memilih Bandar Enstek sebagai tapak kilang mereka adalah kerana bandar ini telah menetapkan visinya untuk menjadi sebuah hab perniagaan halal.

“Pemilihan Bandar Enstek sebagai hab halal akan mempertingkatkan operasi dan juga secara tidak langsung menyumbang kepada aspirasi Bandar Enstek untuk menjadi hab global bagi penjualan produk halal.

“Inilah simbol utama yang menjadikan Bandar Enstek sebagai pilihan pelbagai pelabur yang terlibat dalam industri halal dari dalam dan luar Malaysia.

“Komitmen Tyson Foods Malaysia dalam memenuhi kehendak dan keperluan sektor makanan halal wajar dijadikan contoh bagi pihak lain untuk turut menerajui hala tuju yang sama,” ujar Aminuddin.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button