SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam menyatakan kebimbangan beliau terhadap insiden pencemaran sungai yang semakin menjadi di negeri ini.
Justeru itu, Veerapan meminta Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) serta agensi yang berkaitan supaya menjalankan pemantauan berkala untuk mengekang aktiviti haram yang boleh mengakibatkan pencemaran sungai.
“Saya juga mohon tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak jika didapati bersalah atau melanggar pematuhan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” kata Veerapan.
Veerapan berkata demikian susulan insiden ikan mati di Sungai Paroi, Jalan Sungai Landak, Seremban, pada 29 September 2024.
“Saya dimaklumkan bahawa JASNS telah menjalankan pemantauan menggunakan alat YSI ProDSS dan didapati bacaan untuk Oksigen Terlarut(dissolved oxygen) berada dalam julat yang normal serta bacaan pH di sungai berkenaan ialah 3 hingga 5.
“Pasukan siasatan telah menyusuri sepanjang sungai berkenaan untuk mencari punca dan telah menjumpai sebuah kilang yang tiada nama di Jalan Bunga Raya 2 (berdekatan dengan Sungai Paroi) di mana ada aliran air dari dalam kilang ke longkang luar dan bacaan pH adalah rendah iaitu 1 hingga 2.
“Pasukan rondaan tidak dibenarkan masuk oleh wakil premis tersebut.
“Proses pengambilan sampel iaitu dua botol sampel telah diambil (BOD & SS) dan (Heavy Metal) di longkang luar premis tersebut untuk tujuan analisa,” jelas Veerapan.
Tambah Veerapan, pada 30 Oktober 2024, pasukan penyiasat JASNS telah menjalankan siasatan terhadap premis yang disyaki dan mendapati premis menjalankan aktiviti pengumpulan sisa plastik yang telah dihancurkan serta tidak ada aktiviti mencuci plastik dan memasak plastik dijalankan.
Pemeriksaan JASNS di dalam premis juga didapati tidak ada sebarang peralatan untuk tujuan aktiviti di atas (cucian plastik atau memasak plastik).
“Juga didapati premis ini tidak mempunyai sebarang kelulusan untuk beroperasi dan aktiviti premis tidak tertakluk di bawah AKAS 1974.
“JASNS juga maklumkan bahawa mereka telah mengeluarkan Notis Arahan Seksyen 31 dan 37 supaya pihak premis menutup dengan sempurna semua bahan mentah yang ada supaya tidak terdedah kepada hujan dan panas serta memanjangkan perkara ini kepada pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara(JPSPN) Negeri Sembilan dan Pejabat Tanah dan Daerah Seremban supaya tindakan dapat diambil.
“Selain itu, JASNS juga telah membuat persampelan terhadap bahan mentah yang ada untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa bagi membolehkan tindakan susulan,” ulas Veerapan yang juga ADUN Repah.