Berita

100 keluarga terima rumah PPR Ladang Tanah Merah menerusi skim RTO

CHUAH: Penantian hampir dua tahun 100 keluarga untuk mendiami Program Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Tanah Merah berakhir apabila mereka menerima surat tawaran dan menjalani pengundian unit kediaman hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek perumahan bernilai RM20 juta itu menyediakan 100 unit rumah teres setingkat berkeluasan 750 kaki persegi yang dibangunkan khusus bagi membantu komuniti estet di kawasan berkenaan memiliki kediaman lebih selesa.

Katanya, semua unit ditawarkan menerusi Skim Sewa-Untuk-Milik (Rent-to-Own, RTO) dengan kadar sewaan RM237 sebulan termasuk yuran penyelenggaraan.

“Melalui skim ini, tuan-tuan dan puan-puan hanya perlu membayar sewaan serendah RM237 sebulan, termasuk yuran penyelenggaraan.

“Selepas tempoh sewa yang ditetapkan, hasil ‘tabungan’ bulanan ini membolehkan rumah yang selesa ini bertukar status menjadi milik mutlak keluarga tuan-tuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Pengundian Unit PPR Ladang Tanah Merah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar.

Nga berkata, penyerahan rumah itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan selepas Loji Rawatan Kumbahan (LRK) projek berkenaan dikesan mengalami pencemaran pada penghujung 2023.

Menurut beliau, siasatan mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa terlarang yang berbau seperti minyak diesel secara haram ke dalam sistem loji berkenaan.

Katanya, demi memastikan keselamatan bakal penghuni, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan tambahan RM700,000 bagi kerja pembersihan menyeluruh, rawatan serta pelupusan air tercemar di loji berkenaan.

“Kementerian tidak boleh dan tidak akan membenarkan mana-mana keluarga berpindah masuk ke dalam persekitaran yang bertoksik,” katanya.

Beliau berkata, proses pemulihan mengambil masa hampir dua tahun sebelum loji itu disahkan kembali pulih, selamat dan beroperasi sepenuhnya.

Sehubungan itu, Nga memohon maaf kepada semua bakal penghuni atas kelewatan penyerahan rumah walaupun insiden itu berlaku di luar kawalan kerajaan.

“Walaupun kelewatan ini berpunca daripada faktor di luar kawalan kerajaan, keselamatan dan kesihatan rakyat tetap menjadi keutamaan kami.

“Penantian yang panjang akhirnya berakhir dan saya berharap detik ini akan menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera buat semua keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya memelihara kemudahan awam dan tidak membuang sisa secara haram kerana tindakan itu bukan sahaja merosakkan infrastruktur, malah mengancam keselamatan serta kesihatan masyarakat.

“Tindakan membuang sisa secara haram tidak boleh dipandang ringan.

“Kerajaan MADANI sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan, kualiti infrastruktur dan hak pembeli.

“Mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan sedemikian akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” ujar Nga lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button