BeritaMenarik

11 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan

PUTRAJAYA: Sejumlah 11 tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah berjaya diselesaikan setakat ini dengan kebanyakannya iaitu tujuh tuntutan, berjaya di selesaikan oleh Perdana Menteri Ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tujuh tuntutan berkenaan ialah:

i. Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sebagai Jabatan Teknik;

ii. Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas;

iii. Pindaan Akta LHDN 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN;

iv. Pentadbiran Badan Kehakiman di Sabah dan Sarawak;

v. Garis Panduan Khas Penyerahan Semula Tanah DiRezabkan Bagi Maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak;

vi. Penyerahan Kuasa Kawal Elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah;

vii. Cadangan Pindaan Perkara 95B Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian perundangan, PP.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Fadillah Yusof berkata, di bawah Perdana Menteri Ke-8 sebelum ini, satu tuntutan berjaya diselesaikan iaitu Penyerahan Kuasa Kawal Selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Di bawah Perdana Menteri Ke-9 pula tiga tuntutan berjaya diselesaikan iaitu:

i. Penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah;

ii. Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan;

iii. Pemberian Kuasa (Empowerment) mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Justeru itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) kali pertama untuk tahun 2024 diadakan di Kota Kinabalu yang dipengerusikan Anwar.

Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Pada mesyuarat hari ini, Perdana Menteri turut mengumumkan jumlah peruntukan interim kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta yang akan dilaksanakan bermula 2025.

“Peruntukan berkenaan berhubung kait dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak.

“Tahun lepas jumlah peruntukan interim untuk Sabah dan Sarawak adalah sebanyak RM300 juta,” jelas Fadillah.

Fadillah berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak di atas komitmen yang diberikan dalam perkara ini.

“Kerajaan Madani sentiasa komited untuk memastikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) ini diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Mesyuarat MTPMA63 ini amat penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan.

“Atas komitmen itu juga, kita telah memutuskan untuk menambah baik struktur platform perundingan antara ketiga-tiga peringkat kerajaan dengan memperkukuhkannya melalui pelantikan keahlian baharu dalam platform MTPMA63,” ulas beliau.

Fadillah menambah, secara umumnya, terdapat empat pembentangan yang telah disampaikan dalam Mesyuarat MTPMA63:

i. Pelaporan Status Terkini Kemajuan Tuntutan di Bawah Perjanjian Malaysia (MA63);

ii. Pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Negeri Sabah dan Negeri Sarawak;

iii. Perwakilan Kuasa Kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak untuk Melantik Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua dan Guru Besar bagi mengisi kekosongan dan pemangkuan; dan

iv. Obligasi Kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan Duti Setem Dikenakan Ke Atas Instrumen Pemindahan, Caj, Menyewakan Tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah Dan Sarawak.

“Perkara/tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau dalam platform rundingan yang lain iaitu Jawatankuasa Teknikal yang saya pengerusikan dan beberapa Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian/agensi berkaitan bagi memastikan tuntutan yang masih belum selesai tersebut diambil tindakan sewajarnya,” ujar Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air.

Show More

Related Articles

Back to top button