116 Rumah RM80,000 Siap di Bahau, Bukti Dasar Perumahan Negeri Sembilan Berhasil
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

JEMPOL: Sebanyak 116 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Type A berharga RM80,000 berjaya disiapkan di Taman Cassia, Bahau, sekali gus menjadi bukti keberkesanan Dasar Perumahan Negeri Sembilan dalam membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.
Selain itu, projek sama turut merangkumi 155 unit RMM Type B berharga RM250,000 yang telah siap sepenuhnya dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 19 Mac 2026.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Penyediaan rumah pada harga serendah RM80,000 membuka peluang lebih luas kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri.
“Ini bukan sekadar angka atau projek semata-mata, tetapi bukti bahawa dasar yang kita laksanakan berjaya diterjemahkan kepada realiti yang memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Type A Taman Cassia, Bahau, Daerah Jempol serta Upacara Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Kolej Yayasan Negeri Sembilan dan Era Baru Sdn. Bhd., hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri telah menetapkan dasar tegas iaitu 50 peratus daripada setiap pembangunan baharu mesti terdiri daripada rumah mampu milik.
“Daripada jumlah itu, 20 peratus diperuntukkan bagi Type A dengan harga antara RM80,000 hingga RM110,000, 15 peratus bagi Type B tidak melebihi RM250,000, manakala selebihnya melibatkan Type C(i) dan C(ii) sehingga RM450,000.
“Walaupun dasar ini tidak popular dalam kalangan pemaju, namun ia adalah keputusan yang berpihak kepada rakyat. Kita memilih untuk berdiri bersama rakyat kerana perumahan adalah keperluan asas,” tambahnya.
Sejak 2018, sebanyak 30,099 unit Rumah Mampu Milik telah diluluskan Kebenaran Merancang di Negeri Sembilan melibatkan 9,764 unit Type A, 10,852 unit Type B dan 9,483 unit Type C.
Dalam majlis itu, seramai 15 penerima menerima kunci rumah secara simbolik, manakala 79 pembeli telah menandatangani Perjanjian Jual dan Beli.
Selain itu, seramai 19 orang lagi masih dalam proses mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan atau Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) daripada keseluruhan 995 pemohon.
Aminuddin turut memaklumkan bahawa pembangunan rumah mampu milik di negeri ini turut dipacu oleh peranan aktif anak syarikat kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan), Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan Perbadanan NS (NS Corp) yang secara kolektif telah membangunkan 3,779 unit rumah, termasuk 1,185 unit Type A.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian perjanjian usahasama antara Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) dan Era Baru Sdn. Bhd. dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan tinggi di negeri ini.
Kolej Yayasan Negeri Sembilan merupakan institusi pendidikan tinggi yang diuruskan oleh Kumpulan Akademi YNS Sdn. Bhd. (KAYNS), anak syarikat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) dan Yayasan Negeri Sembilan, dengan kampus terletak di Gentam, Kuala Pilah.



