SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat – PH) mencadangkan 13 langkah untuk orang ramai menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin yang diserang oleh puak rejim zionis.
Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:
1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera rejim zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke atas jenayah terancang dengan membunuh Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas yang berada di Tehran.
2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas rejim zionis terhadap Gaza dan Rafah sejak 7 Oktober 2023 yang lalu.
3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela rejim zionis dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah.
4) Memutuskan agar Kerajaan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza, Palestin.
5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak.
9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini.
10) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.
11) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman rejim rionis.
12) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat.
13) Menzahirkan sokongan padu rakyat Negeri Sembilan kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.
Aminuddin berkata demikian di Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada Isnin.