1,378 ekor anjing ditangkap dan dihantar ke pusat perlindungan
Isu anjing terbiar di kawasan perumahan yang menganggu ketenteraman dan menyebabkan kemalangan serta mendatangkan bahaya kepada penduduk adalah satu perkara yang sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.
Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil keputusan untuk memandulkan anjing-anjing terbiar atau tidak bertuan yang ditangkap sebagai salah satu langkah untuk mengawal populasi anjing di Negeri Sembilan termasuk beberapa kawasan melaksanakan TNR, iaitu Trap-Neuter-Release.
Di Negeri Sembilan, kita tidak membenarkan kaedah Put To Sleep (PTS) atau pelaksanaan membunuh anjing yang ditangkap.
Anjing-anjing yang ditangkap dengan kerjasama NGO akan dihantar ke shelter (pusat perlindungan) dan dijaga oleh NGO masing-masing.
Tindakan ini bukan sahaja kepada anjing, tetapi juga kepada semua haiwan peliharaan jika terdapat sebarang aduan daripada penduduk di sesuatu kawasan.
Kaedah pemandulan anjing terbiar yang ditangkap dan TNR ini adalah satu kaedah jalan tengah atau Win-Win situation untuk mengatasi aduan anjing terbiar dan pada masa yang sama ia juga tidak melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Kaedah ini dimulakan pada awal tahun ini dan keberkesananya akan mengambil sedikit masa untuk dilihat dan saya juga telah meminta kepada semua PBT untuk melakukan tangkapan anjing di kawasan yang mempunyai aduan dengan lebih agresif agar isu ini dapat dikawal.
Mesyuarat EXCO baru-baru ini telah membincangkan isu ini dan kawasan yang selalu mempunyai aduan secara berterusan daripada penduduk setempat, anjing terbiar yang ditangkap tidak akan dilepaskan balik di kawasan itu dan hanya akan disimpan di beberapa shelter sedia ada yang diusahakan oleh NGO.
Kerajaan Negeri dan semua PBT memberikan keutamaan dalam menyelesaikan aduan berkaitan anjing terbiar ini.
Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM100 ribu bagi tujuan pemandulan dan setakat bulan Mei tahun ini 378 ekor anjing telah ditangkap dan dimandulkan.
Selain itu, setakat Mei 2024, Majlis Bandaraya Seremban telah menangkap sebanyak 1,378 ekor anjing dan dihantar ke shelter untuk disimpan.
Semua kerja-kerja tangkapan, pemandulan dan penyimpanan anjing di shelter dilaksanakan dengan kerjasama beberapa NGO seperti FurryKids dan NS Happy PAWS Global.
Kerajaan Negeri bersama dengan NGO juga sedang membina shelter dan mengenal pasti beberapa tanah yang sesuai untuk dijadikan sebagai tempat penyimpanan anjing yang ditangkap ini.
Ini komitmen Kerajaan Negeri Sembilan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menyelesaikan aduan-aduan yang berkaitan anjing di kawasan perumahan dan pada masa yang sama tidak melanggar Akta Kebajikan Haiwan.
Saya sendiri akan mengetuai beberapa operasi tangkapan anjing terbiar ini beberapa kawasan tertentu.
Terkini, saya telah menyertai operasi tangkapan anjing terbiar di beberapa kawasan yang kerap kali menerima aduan di Mantin dan sebanyak 10 ekor anjing telah ditangkap dan dihantar ke shelter.
J.Arul Kumar
EXCO Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan
ADUN Nilai
02 Julai 2024