Berita

14,000 anggota Keadilan Negeri Sembilan akan mengundi pada 13 April ini

SEREMBAN: Seramai 14,000 anggota Keadilan dari seluruh Negeri Sembilan akan mengundi dalam pemilihan parti Keadilan pada 13 April (Ahad) ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan melaksanakan pengundian peringkat cabang secara serentak iaitu pengundian dalam talian dan pengundian secara fizikal.

“Pemilihan Keadilan akan bermula minggu ini pada 11 April (Jumaat) di negeri Kedah.

“Pada 12 April (Sabtu) pemilihan akan berlangsung di negeri Perlis, Selangor dan Melaka.

“Manakala di negeri Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan pemilihan akan diadakan pada 13 April.

“Tempoh pengundian bagi satu-satu cabang adalah ditetapkan selama sembilan jam iaitu bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang bagi kedua-dua kaedah pengundian,” kata Aminuddin.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, seramai 134 anggota Keadilan akan mengundi secara fizikal di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

“134 anggota yang akan mengundi secara fizikal itu adalah 45 anggota dari Cabang Port Dickson, Seremban (34), Rembau (23), Rasah (22) dan Jelebu (10).

“42 anggota Cabang Jempol dan 27 anggota Cabang Tampin akan mengundi secara fizikal di Dewan Aurora Boutique Hotel, Bahau.

“Manakala 297 anggota Cabang Kuala Pilah akan mengundi di Dewan Dato’ Bahaman Kuala Pilah.

“Kesemua pengundi secara fizikal ini adalah mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas,” jelas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button