Berita

150 juta liter sehari, 80,000 akaun terima manfaat LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2

SEREMBAN: Lebih 80,000 akaun pengguna domestik, komersial dan industri di sekitar Seremban, Nilai dan Sendayan bakal menikmati manfaat bekalan air terawat yang lebih stabil susulan perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di tapak loji berkenaan di sini.

LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 dibangunkan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat serta menstabilkan bekalan air di kawasan sektor Seremban, Nilai dan Sendayan bagi memenuhi keperluan semasa serta pembangunan akan datang.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 150 juta liter sehari, loji itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 80,000 akaun pengguna apabila beroperasi sepenuhnya.

Projek bernilai RM228 juta itu dimulakan pada April 2022 dan berjaya disiapkan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sembilan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Menurut kenyataan media SAINS, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memperkukuh sistem bekalan air negeri selain menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti setempat.

“Pembinaan loji itu bersama pakej-pakej lain di bawah skim sama turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri melalui SAINS dalam memastikan rakyat menikmati akses kepada bekalan air terawat mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)”katanya.

Selain menyediakan infrastruktur bekalan air yang mampan, projek tersebut juga membuka lebih banyak peluang pelaburan industri ke Negeri Sembilan selaras dengan pembangunan pesat wilayah berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button