Berita

17 murid SJKT Lorong Java terima Bantuan Anak Sekolah

BUKIT KEPAYANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon telah menyampaikan cek sumbangan Bantuan Anak Sekolah (BAS) kepada para penerima daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lorong Java, Seremban.

Nicole Tan berkata, seramai tujuh belas pelajar menerima cek sumbangan bernilai RM500 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

“Sumbangan ini adalah antara komitmen Kerajaan Negeri Sembilan dalam membangunkan modal insan negeri iaitu para pelajar di peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi.

“Murid yang layak daripada sekolah rendah akan menerima sumbangan berjumlah RM500 manakala pelajar daripada sekolah menengah akan menerima Biasiswa Anak Negeri berjumlah RM550.

“Bagi pelajar yang layak di peringkat pengajian tinggi pula akan menerima jumlah sumbangan mengikut kategori pengajian masing-masing iaitu RM1,000 (ijazah), RM750 (Diploma) dan RM500 (Sijil),” jelas beliau.

Nicole Tan berkata, SJKT Lorong Java dipilih sebagai tuan rumah bagi sesi penyampaian sumbangan tersebut kerana jumlah penerimanya yang ramai.

“Baki sumbangan Bantuan Anak Sekolah dan Biasiswa Anak Negeri Peringkat DUN Bukit Kepayang akan disampaikan di sebuah majlis dalam masa yang terdekat ini,” katanya yang juga Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Guru Besar SJKT Lorong Java, Muhd Razi Balan Abdullah dalam ucapan aluannya mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian dan keprihatinan Nicole Tan yang sentiasa cakna serta menyantuni sekolah tersebut pada setiap masa.

Turut hadir, Yang DiPertua PIBG, Sagaya Rajan Xavier.

Show More

Related Articles

Back to top button