2,500 Penganut Hindu meriahkan sambutan Thaipusam di kuil tertua Negeri Sembilan
SEREMBAN: Kira-kira 2,500 penganut Hindu menghadiri sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Bala Thandayuthapani di sini, hari ini.
Kuil yang merupakan antara tertua dan terbesar di Negeri Sembilan itu menjadi tumpuan penganut dari sekitar Seremban dan kawasan berhampiran bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan tersebut.
Pengerusi Kuil Sri Bala Thandayuthapani, R. Parameswaran berkata pelbagai aktiviti dan program keagamaan dianjurkan tahun ini bagi memeriahkan sambutan serta memastikan kelancaran ibadah para penganut.
“Kita juga turut menyediakan sebanyak 5,000 pek makanan percuma kepada pengunjung selepas selesai upacara sembahyang dan kesucian yang berlangsung sehingga kira-kira jam 12 tengah hari”katanya
Sambutan Thaipusam bukan sahaja berteraskan ibadah malah menjadi platform mengeratkan hubungan sesama penganut serta memupuk semangat perpaduan.
Turut hadir, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan Perumahan dan Pengangkutan, Arul Kumar A/L Jambunathan bagi menunjukkan sokongan pimpinan negeri terhadap acara keagamaan dan perpaduan komuniti.




