Berita

3.04 juta ahli KWSP capai simpanan asas setakat Mei, meningkat berbanding tahun lalu

KUALA LUMPUR: Seramai 3.04 juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur antara 18 hingga 60 tahun telah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur setakat 31 Mei lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, jumlah itu mewakili 38.3 peratus daripada keseluruhan 7.94 juta ahli aktif sektor formal dalam lingkungan umur berkenaan.

“Ini merupakan peningkatan berbanding 2.71 juta ahli atau 35 peratus yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, peningkatan tersebut didorong oleh pelbagai inisiatif yang diperkenalkan KWSP bagi membantu ahli membina simpanan persaraan yang lebih kukuh, termasuk penstrukturan semula akaun kepada tiga kategori iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Selain itu, kerajaan bersama KWSP turut memperluaskan liputan caruman menerusi pelbagai inisiatif seperti i-Saraan, i-Saraan Plus, i-Suri, i-Sayang, serta kemudahan caruman sukarela termasuk i-Topup, i-Simpan dan i-Legasi bagi menggalakkan lebih ramai rakyat meningkatkan simpanan persaraan.

Liew berkata, kerajaan kekal komited memperkukuh dasar serta mekanisme kewangan yang lebih menyeluruh bagi memastikan rakyat mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi, khususnya ketika negara berdepan peningkatan kos sara hidup dan menuju status negara menua.

“Kerajaan bersama KWSP akan terus memperkukuh dasar serta mekanisme kewangan yang lebih holistik, termasuk menambah baik insentif caruman dan perlindungan sosial bagi meningkatkan kecukupan simpanan persaraan serta menjamin kesejahteraan kewangan ahli pada masa hadapan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button