Kemunculan buaya di Pantai Tanjung Gemuk cetus kebimbangan

PORT DICKSON: Kemunculan seekor buaya dipercayai sepanjang kira-kira tiga meter di Pantai Tanjung Gemuk, di sini, mencetuskan kebimbangan orang awam selepas reptilia itu dirakam sedang membaham sesuatu dipercayai seekor anjing.
Rakaman video berdurasi 29 saat itu tular di media sosial dan menarik perhatian pemancing serta penduduk setempat yang bimbang dengan aspek keselamatan di kawasan berkenaan.
Seorang pemancing, Mohd. Shahrizan Abd. Wahab, 39, berkata, dia menerima maklumat berserta rakaman video mengenai kemunculan buaya itu pada pukul 7.02 pagi tadi.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, video berkenaan dipercayai dirakam pada pukul 11.45 malam tadi.
“Saya memang terkejut. Sebelum ini saya hanya pernah nampak buaya di tengah laut.
“Bila nampak video itu, saya terus fikir soal keselamatan dan akan menjauhkan diri jika terserempak dengan reptilia tersebut.
“Saya dapat video daripada adik-beradik saya kerana mereka bimbang dengan keselamatan saya yang suka memancing di laut,” katanya.
Mohd. Shahrizan berkata, sepanjang 13 tahun bergelar kaki pancing, kejadian itu adalah kali pertama dia melihat buaya berada di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri mengesahkan pihaknya telah menerima rakaman video berhubung kemunculan buaya tersebut pagi ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti lokasi sebenar serta tindakan susulan yang perlu diambil.
Kemunculan buaya itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk setempat yang berharap pihak berkuasa dapat mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.



