Doktor muda bakal ditawar jawatan tetap selepas tamat latihan menjelang 2028

PUTRAJAYA: Semua pegawai perubatan siswazah dijangka akan ditawarkan jawatan tetap sebaik sahaja menamatkan latihan siswazah menjelang 2028 menerusi agenda reformasi sumber manusia yang sedang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran itu merupakan antara fokus utama Pasukan Petugas Bersama Antara Kementerian (IMJTF) dalam menangani isu lantikan tetap yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
“Menjelang 2028, KKM menyasarkan untuk menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah sebaik sahaja mereka menyelesaikan latihan.
“Inilah pendekatan whole-of-government yang sebenar.
“IMJTF kini mula menampakkan hasil dalam menangani isu sumber manusia yang telah berlarutan sejak sekian lama menerusi agenda reformasi yang sedang dilaksanakan.
“Kami mendengar kebimbangan anda dan sedang giat merapatkan jurang yang wujud,” katanya Dzulkefly.
Menurut beliau, seramai 4,500 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap tahun ini, selain 800 jawatan baharu yang diluluskan setiap tahun.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada pembekuan pengambilan dilaksanakan walaupun berlaku penyelarasan semula peruntukan perbelanjaan operasi.
“Kita berada di landasan untuk mengisi lebih 18,000 kekosongan jawatan merentasi semua skim perkhidmatan kementerian sepanjang tahun 2026.
“Kita juga berusaha menangani masalah keletihan melampau atau burnout dengan menambah baik persekitaran kerja, namun menggantikan pakar perubatan masih menjadi cabaran yang memerlukan penyelesaian jangka panjang,” ujar beliau.



