3,600 keluarga seluruh Negeri Sembilan dapat daging percuma

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah mengagihkan daging lembu secara percuma kepada 3,600 keluarga kurang kemampuan di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sebanyak 100 keluarga kurang berkemampuan dari setiap DUN menerima daging percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sebanyak 100 keluarga dari setiap 36 DUN di seluruh Negeri Sembilan telah menerima daging lembu secara percuma sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Setiap 100 keluarga ini akan menerima sekilo daging lembu, sumbangan Kerajaan Negeri.
“Adalah diharapkan sumbangan daging percuma ini sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan menceriakan seisi keluarga,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian semasa sidang media di program Mantai Rayo di Masjid Dato’ Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat.