BeritaMenarikProgram

37, 537 warga emas Negeri Sembilan dapat sumbangan kewangan berjumlah RM7.50 juta

SEREMBAN: Seramai 37, 537 warga emas mendapat manfaat sumbangan kewangan daripada Kerajaan Negeri Sembilan sepanjang tahun 2024 yang melibatkan peruntukan RM7.50 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas ini, membolehkan warga emas berusia 70 tahun dan ke atas menerima sumbangan kewangan one-off sebanyak RM200 setahun.

“Saya boleh kata ini di antara inisiatif yang paling berjaya dan sumbangan kewangan ini diberikan bagi menghargai golongan warga emas.

“Justeru itu, bermula tahun ini (2025), sumbangan RM200 ini akan diserahkan kepada penerima semasa musim perayaan agama masing-masing.

“Kalau warga emas itu kaum Tionghua, maka sumbangan akan diberikan sebelum atau semasa musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Sekiranya warga emas yang beragama Islam, sebelum sambutan Hari Raya dan untuk yang beragama Hindu, sebelum sambutan Deepavali.

“Adalah diharapkan dengan kaedah baru ini, ia akan memberi lebih keceriaan kepada golongan warga emas Negeri Sembilan semasa menyambut perayaan masing-masing,” kata Aminuddin semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, warga emas yang telah berdaftar pada tahun lepas dan yang telah menerima sumbangan kewangan RM200 ini di laman sesawang www.n9.digital/ tidak perlu membuat permohonan semula untuk mendapatkan sumbangan RM200 itu pada tahun ini.

“Pusat Khidmat Rakyat DUN akan menghubungi warga emas yang telah menerima sumbangan ini pada tahun lepas untuk diberi semula sumbangan ini pada tahun ini,” ujar Aminuddin.

 

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button