NILAI: Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar telah bersama dalam satu Operasi Bersepadu terhadap perniagaan warga asing di Taman Semarak dan Taman Desaria, Nilai yang dihadiri oleh 160 pegawai dari Majlis Bandaraya Seremban, Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM, KPDN dan Jabatan Tenaga Kerja.
“Dalam operasi ini beberapa premis perniagaan yang disyaki dijalankan oleh warga asing telah diserbu dan pemeriksaan telah dilaksanakan.
“Dalam operasi tersebut di Taman Semarak dan Taman Desaria, sebanyak 33 premis melakukan kesalahan dengan 37 kompaun dikenakan dan satu sitaan.
“Beberapa perniagaan yang telah disemak telah mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada Majlis Bandaraya Seremban dan mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan.
“Antara syarat yang ditetapkan yang telah dipatuhi adalah semua pekerja mereka yang sah dan permit didaftarkan di bawah syarikat tersebut, kaunter dijaga oleh warganegara Malaysia, mempamerkan no fail akaun LHDN dan lesen MBS yang sah dan masih aktif,” jelas Arul Kumar.
Arul Kumar berkata, selain daripada ini, terdapat juga beberapa premis perniagaan yang adanya pasangan warganegara dan semakan juga mendapati mereka juga mempunyai permit yang sah.
“Sesiapa yang tidak mempunyai permit yang sah tindakan telah diambil.
“Syarat-syarat yang ditetapkan untuk setiap perniagaan adalah cukup untuk membanteras perniagaan yang dijalankan oleh warganegara asing dan operasi secara berterusan akan dilaksanakan sepanjang masa.
“Jika mana-mana premis perniagaan yang mempunyai lesen perniagaan dan beberapa kali mereka mengulangi kesalahan yang sama, maka Majlis Bandaraya Seremban akan membatalkan lesen perniagaan tersebut.
“Operasi pada hari ini hanya bertumpu kepada kawasan Taman Semarak dan Taman Desaria Nilai sahaja dan operasi lain akan dilaksanakan secara berterusan,” kata Arul Kumar yang juga ADUN Nilai.