Berita

Polis Panggil Sanusi, Pemimpin UMNO Rembau Bantu Siasatan

NILAI: Polis akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta seorang pemimpin UMNO Bahagian Rembau bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pihaknya menerima dua laporan polis membabitkan Muhammad Sanusi manakala 11 laporan lagi diterima terhadap pemimpin UMNO Rembau berkenaan.

“Kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini kita belum mengambil keterangan beliau dan tindakan segera akan dilaksanakan.

“Kita juga telah memanggil beberapa saksi untuk dirakam percakapan serta mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal di Pusat Mengundi Awal, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, hari ini.

Mengulas siasatan terhadap pemimpin UMNO Rembau, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Beberapa saksi termasuk pengadu telah dipanggil dan keterangan mereka dirakam.

“Kita juga akan memanggil lelaki berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada Khamis lalu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengenai kaum Melayu ketika berucap pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sempena PRN Negeri Sembilan di Jempol.

Sementara itu, Alzafny berkata, polis mengeluarkan 536 permit ceramah sepanjang tempoh berkempen bermula 16 Julai hingga semalam.

Katanya, dalam tempoh sama, polis menerima 53 laporan berkaitan pilihan raya dan membuka 16 kertas siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Setiap laporan diteliti dan tindakan diambil berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button