Berita

38 Pusat Mengundi Awal Dibuka, SPR Sasar Lebih 90 Peratus Keluar Mengundi

Port Dickson: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kadar keluar mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 boleh mencapai lebih 90 peratus.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, sebanyak 38 pusat mengundi awal membabitkan 70 saluran dibuka di seluruh Negeri Sembilan hari ini.

“Pengundian awal melibatkan seramai 16,467 pengundi yang terdiri daripada anggota tentera, anggota polis serta pasangan mereka selepas ditolak jumlah pengundi yang memilih untuk mengundi secara pos.

“Pada pagi ini sebanyak 38 pusat mengundi awal yang melibatkan 70 saluran di seluruh Negeri Sembilan.

“Ia melibatkan anggota tentera seramai 11,293 orang dan anggota polis seramai 5,174 orang, keseluruhannya berjumlah 16,467 pengundi selepas kita tolak undi pos,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah Port Dicson disini.

Menurutnya, bagi anggota tentera sebanyak 5,591 pengundi adalah undi pos manakala bagi anggota polis pula sebanyak 281 pengundi memilih kaedah undi pos.

Ramlan berkata, semua pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat iaitu 17 pusat mengundi ditutup pada pukul 12 tengah hari, tiga pusat pada pukul 2 petang dan 18 pusat lagi pada pukul 5 petang.

“Sehingga pukul 10 pagi tadi, jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 34.26 peratus dan insya-Allah sehingga petang nanti kita menjangkakan kadar keluar mengundi ini boleh mencapai sehingga 90 peratus keseluruhannya,” katanya.

Ramalan berkata, sasaran tersebut mengambil kira beberapa faktor termasuk terdapat anggota tentera wanita dan pasangan yang tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

“Orang selalu fikir anggota tentera dan polis sepatutnya boleh capai 100 peratus. Ada beberapa perkara yang kita tidak boleh elakkan.

“Jadi kita harap kita boleh lebih daripada 90 peratus kerana pada pilihan raya negeri Johor baru-baru ini kita mencapai 94 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, SPR menjangkakan kadar keluar mengundi keseluruhan bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 sekitar 72 hingga 75 peratus pada hari pengundian 1 Ogos ini.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan suasana persaingan sengit pada PRN kali ini yang diyakini mendorong lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Mengulas perjalanan pengundian awal hari ini, proses berjalan lancar dan tertib dengan beberapa kes kecil yang telah diselesaikan.

“Secara umumnya semuanya berjalan dengan baik. Ada beberapa kes kecil yang telah kita selesaikan.

“SPR menerima 206 aduan berhubung kesalahan pilihan raya namun ia merupakan kesalahan-kesalahan kecil seperti bahan kempen dan sebagainya,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button