Aminuddin Turun Padang Tinjau Pengundian Awal PRN Negeri Sembilan Di Segenting

LINGGI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun hari ini turun padang meninjau proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Serbaguna Kem Segenting dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Port Dickson, di sini.
Kira-kira pukul 9.30 pagi, Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi tiba di Dewan Serbaguna Kem Segenting bagi melihat proses pengundian awal membabitkan anggota tentera dan polis serta pasangan mereka.
Menurut Aminuddin, anggota tentera dan polis mempunyai tahap disiplin tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
“Bagi saya, pengundi awal ini termasuk polis dan tentera amat berdisiplin.
“Saya yakin mereka akan keluar mengundi dengan peratusan yang tinggi kerana sejak awal lagi mereka telah bersama keluarga untuk menunaikan tanggungjawab ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan di Dewan Serbaguna Kem Segenting.
Aminuddin berkata, komitmen yang ditunjukkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan tahap disiplin tinggi dalam melaksanakan kewajipan sebagai pemilih.
“Ini menunjukkan disiplin yang tinggi daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia dan pihak polis.
“Saya juga yakin peratusan keluar mengundi bagi kawasan ini akan antara yang tertinggi di Negeri Sembilan,” katanya.
Proses pengundian awal bagi anggota tentera dan polis bermula pada pukul 8 pagi di pusat mengundi yang telah ditetapkan di seluruh Negeri Sembilan.
Terdapat seramai 2,222 pengundi awal termasuk pasangan anggota berdaftar untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian awal Dewan Serbaguna Kem Segenting.
Aminuddin turut berkongsi jadual pergerakannya selepas selesai meninjau proses pengundian awal dengan meneruskan aktiviti di sekitar kawasan Linggi bagi bertemu dan menyantuni masyarakat setempat.
“Insya-Allah selepas ini saya akan turun ke kawasan-kawasan Linggi untuk bertemu masyarakat setempat,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, kerusi DUN Linggi menyaksikan saingan tiga penjuru antara Aminuddin, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd. Faizal Ramli dan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Zamri Md. Said.
PRN Negeri Sembilan ke-16 melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026.



