Berita

PAKATAN HARAPAN dakwa kempen berasaskan prestasi, tolak dakwaan Hadi Awang

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menegaskan kempen Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan yang dibawanya memberi tumpuan kepada rekod prestasi pentadbiran dan khidmat kepada rakyat, sambil menolak dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa gabungan itu memperoleh kuasa melalui penipuan, helah tidak demokratik, rasuah dan ugutan.

Bendahari Majlis Presiden Pakatan Harapan, Khalid Abd Samad berkata, sejak awal kempen PAKATAN HARAPAN konsisten membentangkan pencapaian pentadbiran di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai asas untuk meraih sokongan rakyat.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu berdasarkan data dan angka rasmi.

“Kami membentangkan prestasi pentadbiran secara jelas agar rakyat Negeri Sembilan mempunyai maklumat yang tepat untuk menentukan hala tuju negeri, selaras dengan perancangan pembangunan Negeri Sembilan sebagai ‘Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid turut mendakwa gabungan Perikatan-Barisan Nasional (PBN) gagal mengetengahkan rekod pentadbiran mereka kerana prestasi yang disifatkannya tidak memberangsangkan.

Beliau berkata, sasaran PBN untuk membawa pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun juga telah diatasi apabila PAKATAN HARAPAN berjaya menarik pelaburan melebihi RM32 bilion dalam tempoh 2025 hingga 2026.

Pada masa sama, beliau mendakwa kempen pihak lawan lebih banyak tertumpu kepada isu berkaitan kedudukan Melayu dan Islam berbanding pencapaian pentadbiran.

“Siang dan malam kempen mereka menjual dakyah bahawa Melayu dan Islam terjejas, sedangkan hakikatnya kedudukan Melayu dan Islam semakin mantap di bawah pentadbiran PAKATAN HARAPAN di Negeri Sembilan,” ujar Khalid.

Mengulas kenyataan terbaharu Abdul Hadi menerusi hantaran Minda Presiden PAS, Khalid menyifatkan dakwaan bahawa PAKATAN HARAPAN memperoleh kuasa melalui penipuan, helah tidak demokratik, rasuah dan ugutan sebagai tidak berasas.

“Selama ini isu tadbir urus yang baik (good governance) dan prestasi cemerlang adalah asas tawaran HARAPAN untuk dipilih rakyat.

“Mungkin Haji Hadi tersasul dan sebenarnya sedang merujuk kepada kaedah politik PAS sendiri yang sentiasa membohongi dan mengugut rakyat dengan ancaman DAP,” kata Khalid.

Beliau turut mengingatkan Presiden PAS supaya berpegang kepada prinsip keadilan sebagaimana diperintahkan dalam Surah Al-Maidah ayat 8 serta menghentikan fitnah dan usaha menakut-nakutkan rakyat.

Menurut Khalid, PAKATAN HARAPAN percaya pengundi tidak perlu melakukan eksperimen baharu sekiranya kerajaan sedia ada mampu memberikan kestabilan serta hala tuju yang jelas kepada negeri.

Katanya, pendekatan kempen PAKATAN HARAPAN pada PRN-16 memberi penekanan kepada isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk peluang pekerjaan, pemilikan rumah, pendapatan petani, kebajikan warga emas dan masa depan golongan muda di Negeri Sembilan.

“Semoga rakyat Negeri Sembilan dapat memilih pemimpin berdasarkan prestasi dan pencapaian sebenar, bukan sekadar atas pembohongan dan penipuan yang dibawa oleh PAS dan PBN,” jelas Khalid.

Show More

Related Articles

Back to top button