Berita

Pengundian Awal PRN NS16 Berjalan Lancar, Tiada Insiden Dilaporkan

SEREMBAN: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang membimbangkan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Prof. Dr. Azmi Sharom berkata, pemerhatian awal yang dijalankan mendapati proses pengundian berlangsung dalam keadaan teratur dengan kerjasama baik daripada pengundi yang terdiri daripada anggota polis dan tentera.

“Kedua-dua kumpulan tersebut menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang proses pengundian berlangsung, sekali gus membantu melancarkan perjalanan proses demokrasi itu.

“Pemerhatian awal biasanya tidak menghadapi masalah kerana anggota polis dan tentera sangat berdisiplin. Mereka mengikut prosedur yang ditetapkan dan setakat ini semuanya berjalan dengan baik.

“Rumah atau pusat pemerhatian di sini juga berada dalam keadaan baik dan saya tidak melihat sebarang masalah hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa hari pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sebarang insiden terdahulu berkaitan proses pengundian awal, beliau berkata tiada kejadian serius pernah dilaporkan setakat ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, kadar keluar mengundi bagi pengundian awal lazimnya berada pada tahap yang tinggi dan sering melebihi 90 peratus.

Bagi hari pengundian sebenar pula, beliau berharap peratusan keluar mengundi dapat melepasi 70 peratus.

“Pengundian bagi pilihan raya negeri biasanya menerima perhatian yang sedikit berbeza berbanding pilihan raya Parlimen, namun jika kita dapat mencapai lebih 70 peratus kehadiran pengundi, itu merupakan satu pencapaian yang sangat baik,” tambahnya.

Proses pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 telah bermula hari ini dalam, membabitkan 22,339 anggota keselamatan dan pasangan di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, seramai 16,884 merupakan anggota tentera dan pasangan, manakala 5,455 lagi terdiri daripada anggota polis dan pasangan yang layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Kesemua pusat mengundi awal dibuka serentak pada pukul 8 pagi dengan waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi, iaitu 18 pusat mengundi ditutup pada pukul 12 tengah hari, dua pusat pada pukul 2 petang dan baki 18 pusat lagi pada pukul 5 petang.

Show More

Related Articles

Back to top button