SEREMBAN: Seramai 180 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun pada Selasa.
Aminuddin berkata, semua pelajar menerima sumbangan wang tunai RM5,000 dengan peruntukan sebanyak RM900,000.
“Siswazah Anak Negeri Sembilan Cemerlang yang telah menerima insentif ini bagi tahun 2024; secara keseluruhan adalah seramai 484 orang dengan peruntukan yang telah disediakan oleh Yayasan Negeri Sembilan (YNS) berjumlah RM2.42 juta.
“Ini membuktikan Negeri Sembilan mempunyai generasi cerdik pandai yang seharusnya menjadi penyambung lagi pembangunan negeri ini pada masa akan datang.
“Harapan saya, agar pengiktirafan dan penghargaan ini, dapat melonjakkan motivasi anda semua untuk terus berjaya di lapangan yang lebih tinggi, seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada masyarakat khususnya adik-adik di bawah yang sangat dahagakan teladan kejayaan yang hampir dengan mereka,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Yayasan Negeri Sembilan (Siri 3-Tahun 2024)di Royal Chulan, Seremban.
Sementara itu, Aminuddin juga berharap pelajar yang menerima anugerah ini membantu berkongsi dan menyebarkan maklumat penting tentang insentif bantuan pendidikan Kerajaan Negeri Sembilan seperti bantuan sara hidup, komputer riba percuma dan Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama yang dikelolakan oleh YNS.
“Kongsi dan sebarkan kepada seramai mungkin anak-anak Negeri Sembilan di luar sana melalui platform media sosial agar lebih ramai yang akan menyedari inisiatif bantuan seumpama ini dan mendapat manfaat daripadanya bagi menggapai impian.
“Bagi yang berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD pula, YNS telah menyediakan peluang bantuan pinjaman pendidikan untuk pengajian Master dan PhD sekaligus mendokong agenda pembelajaran sepanjang hayat.
“Saya sangat menggalakkan anda semua menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi agar kepakaran dan pengkhususan anda kelak boleh diguna pakai untuk kebaikan negeri dan negara.
“Apabila ramai yang menyambung pengajian ke peringkat tertinggi maka lebih ramai graduan-graduan ilmu dihasilkan sekaligus menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu dan ilmuwan,” ujar Aminuddin lagi.