52 pelajar terima sumbangan dalam program back to school dari Faizal

LINGG: Seramai 52 pelajar berusia antara lima hingga 18 tahun menerima sumbangan beg sekolah dan alat tulis menerusi Program Back To School yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Dato’ Mohd Faizal Ramli di Bandar Baru Sunggala, jam 10 pagi ini.
Mohd Faizal berkata, semua penerima merupakan kanak-kanak dan remaja yang berdaftar dengan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Daerah Port Dickson, sebuah pusat di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan persekitaran selamat dan terkawal untuk pembangunan sahsiah kanak-kanak.
“Pusat berkenaan dipantau oleh seorang penyelia dan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 2 petang hingga 5 petang, dengan pelbagai aktiviti sihat dan bersesuaian mengikut peringkat umur disediakan kepada peserta.
“Di sini, anak-anak boleh berkumpul, bermain dan berinteraksi dengan lebih selamat, sekali gus memberi ketenangan kepada ibu bapa terhadap persekitaran yang disediakan.
“Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada ibu bapa, namun sumbangan daripada mana-mana pihak amat dialu-alukan bagi memastikan kelangsungan program dan aktiviti bermanfaat untuk anak-anak terlibat.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyokong kebajikan serta memberi motivasi kepada pelajar dalam menghadapi sesi persekolahan akan datang,” kata Mohd Faizal.



