YB Kita

57 penduduk DUN Serting terima anak pokok buah

SERTING: Seramai 57 penerima dari DUN Serting telah menerima anak pokok buah-buahan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 daripada Penyelaras DUN Serting, Nor Mohd Azahar Saharudin.

Azahar berkata, Program Touch Point 2.0 itu telah dilaksanakan di DUN Serting dengan matlamat menjadikan kawasan terlibat sebagai dusun buah-buahan.

“Melalui program ini, seramai 57 orang penerima di DUN Serting telah diberikan amanah untuk menjaga tanaman yang diterima.

“Mereka terdiri daripada penduduk di tiga lokasi iaitu Kampung Bukit Laka, Kampung Gajah Mati dan Kampung Serting Ilir, dengan setiap kampung melibatkan 19 orang penerima.

“Setiap penerima menerima tiga jenis anak pokok (cempedak, durian IOI dan kelapa pandan), dua jenis baja (baja NPK 16:16:16 seberat lima kilogram dan baja organik lima kilogram), serta satu set peralatan menanam merangkumi sarung tangan dan cangkul yang diserahkan oleh pihak Jabatan Pertanian.

“Objektif program ini adalah untuk menggalakkan penghijauan melalui tanaman buah-buahan, membudayakan aktiviti pertanian sebagai peluang ekonomi baharu kepada rakyat, serta menyokong isi rumah dalam menangani kos bahan makanan dan merangsang minat masyarakat terhadap bidang pertanian,” jelas Azahar.

Menurut Azahar, sektor pertanian terus diberikan penekanan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2025 di bawah Bidang Tumpuan 2: Keterjaminan Makanan dengan peruntukan sebanyak RM8.63 juta melibatkan lapan inisiatif.

“Daripada jumlah itu, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan terlibat dalam lima inisiatif termasuk Program Touch Point Buah-Buahan yang memperuntukkan sebanyak RM0.5 juta.

“Saya berharap agar penduduk dapat menjaga pokok-pokok yang diterima sehingga membuahkan hasil.

“Dengan adanya khidmat nasihat dan pemantauan berterusan daripada Jabatan Pertanian, saya yakin usaha ini akan menjadikan DUN Serting sebagai contoh kampung yang menghasilkan dusun buah-buahan yang Berjaya,” kata Azahar.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Pertanian Daerah Jempol, Azmi; Penghulu, Saharudin selaku wakil daripada Pejabat Daerah Jempol serta Ketua Kampung Bukit Laka, Abu Zarin Bahali.

Show More

Related Articles

Back to top button